KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merombak kabinet tanpa penglibatan dan persetujuan Parti Warisan (Warisan) disifatkan sebagai membelakangi dan melanggar saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyeru kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan penyertaan oleh parti itu.

Menurut Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan Hajiji menerusi Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Kabinet di Istana Seri Kinabalu pada kemarin itu turut melanggar persetujuan dan kesepakatan yang telah dicapai sebelum ini melalui pertemuan Hajiji bersama beliau dan Anwar.

"Majlis angkat sumpah Ahli Jemaah Menteri baharu Sabah telah berlangsung walaupun ia tidak menggambarkan satu kerajaan perpaduan.

"Sekaligus, tindakan Datuk Hajiji Noor telah membelakangi saranan Perdana Menteri dan melanggar persetujuan dan kesepakatan yang telah dicapai", ujar Shafie dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shafie, jawatankuasa khas Kerajaan Perpaduan perlu ditubuhkan segera seperti mana yang disarankan oleh Anwar Ibrahim beberapa hari lalu bagi memperincikan bentuk kerjasama di antara parti politik di negeri itu dalam usaha mencapai kestabilan politik yang menyeluruh.

Warisan juga katanya pada 9 Januari telah bersetuju dengan cadangan Anwar mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah yang turut diterima oleh UMNO dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sewaktu pertemuan diadakan.

"Penubuhan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran-butiran berkaitan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah yang bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini

"Parti Warisan telah memberi sokongan penuh kepada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2023 untuk pembentukan sebuah kerajaan perpaduan di Sabah. 

"Saranan itu juga mendapat persetujuan dan sokongan daripada UMNO dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang turut hadir pada pertemuan itu. ", tambah Shafie.