KOTA KINABALU: Selepas hampir satu jam Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, rombongan beliau dilihat keluar dari perkarangan Istana Seri Kinabalu di sini.

Beliau meninggalkan istana kira-kira 5.13 petang dan usaha para pengamal media untuk cuba mendapatkan komen dari Hajiji tidak berjaya.

Bagaimanapun, Hajiji hanya dilihat memberikan lambaian dan senyuman kepada para pengamal media.

Terdahulu, kenderaan yang membawa Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu dilihat hadir memasuki Istana Seri Kinabalu pada jam 4.22 petang.

Kehadiran itu akan bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin susulan situasi politik semasa negeri tersebut.

Semalam, kerajaan negeri yang dipimpin GRS dan Barisan Nasional goyah apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.