KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya mengakui bahawa beliau antara lima ADUN yang tidak bersetuju dengan langkah Barisan Nasional (BN) Sabah yang menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Shahelmey yang tidak hadir pada pertemuan ADUN BN Sabah di bangunan UMNO pada malam Jumaat menjelaskan bahawa ini bukan masanya untuk menukar kerajaan yang ada kini.

"Ya, saya tidak hadir disebabkan saya tidak menyokong gerakan yang dibuat oleh Datuk Bung dan juga rakan-rakan kerana saya berpendapat bahawa ini bukan masanya yang sesuai untuk kita metidakstabilkan kerajaan ataupun menukar kerajaan.

"Prestasi kerajaan BN-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah dalam satu prestasi yang agak baik dalam dua tahun kebelakangan ini, dengan terbuktinya pada dua tahun berturut-turut kerajaan negeri mempunyai peningkatan pendapatan daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan program SMART Jawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 pelajar Sekolah Menengah dalam Parlimen Putatan di Dewan Sekolah Menengah Maktab Sabah pada Sabtu.

Shahelmey berkata, tindakan itu akan memberi persepsi politik Sabah tidak stabil dan menyebabkan pelabur kurang yakin kepada Sabah.

"Kita telah berjaya menarik pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi RM33 bilion, jadi kenapa kita hendak melakukan satu pertukaran kerajaan tanpa sebab-sebab yang konkrit, yang mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri tidak stabil dan ini akan menghindar pelabur-pelabur atau mengurangkan keyakinan pelabur untuk datang melabur di negeri ini.

"Jadi saya tidak setuju dan saya sudah membuat siasatan bahawa rakyat juga tidak inginkan perubahan kerajaan dalam masa sekarang.

"Sekarang bukan masa untuk bermain politik. Sekarang masa untuk bekerja, untuk membangunkan ekonomi untuk memajukan negeri ini. Jadi saya tidak bersetuju itulah saya tidak datang," katanya.

[TERKINI] Gelora Politik Sabah, BN tarik sokongan terhadap Hajiji


Ditanya mengenai tindakan tegas yang mungkin akan diambil terhadap ADUN yang tidak menyokong pendirian BN Sabah itu, beliau berkata, itu adalah hak parti.

"Ya, itu hak parti dan terpulang kepada parti. Saya bersedia (tindakan)," katanya.

Sebelum itu, Bung Moktar memaklumkan terdapat lima ADUN BN Sabah yang tidak menyokong tindakan parti yang menarik sokongan terhadap Hajiji bagaimanapun tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang khianat terhadap parti. -- Sinar Harian