KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menerima hakikat bahawa presiden mempunyai kuasa mutlak untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dilantik.

Tajuddin berkata, meskipun akur dengan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun, timbul tanda tanya mengapa tiada alasan dinyatakan dalam surat penamatan perkhidmatannya.

"Saya tiada isu tentang perkara ini kerana itu hak dia (Zahid). Tetapi yang geli hati kerana dalam surat tiada sebut apa sebab kesalahan saya, malah dalam surat itu hanya mengucapkan tahniah atas pelantikan saya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia selain makluman saya digugurkan daripada ahli MT.

"Jadi tiada isulah, tiada kesalahan tetapi beliau (Zahid) apabila bercakap dengan media timbul pula perkara itu dan ini," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Khamis lepas, media melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT menerusi satu surat bertarikh 21 Jun.

Tajuddin berkata, penggugurannya sebagai ahli MT juga sama sekali tidak akan mengganggu tugasnya sebagai duta dan beliau juga ketika ini masih menunggu tarikh baharu bagi penerimaan watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandangkan ia telah ditangguhkan sebelum ini berikutan baginda gering.

Ditanya sama ada beliau akan meneruskan perjuangan karier politiknya dengan UMNO, Tajuddin mengakui beliau sayangkan UMNO memandangkan sudah 50 tahun bersama parti itu.

"Saya sudah 50 tahun dengan UMNO, takkanlah tak sayang... dari budak kampung dapat belajar situlah kita duduk, jasa UMNO kita kenang," katanya.

Mengenai tawaran Pas Perak yang sedia menawarkan kerusi kepada beliau bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Tajuddin dalam nada gurauan berkata, ia boleh dipertimbangkan.

"Not a bad idea (satu idea yang baik), tak adalah saya tidak akan masuk Pas ke apa... tapi kalau mereka main kasar saya boleh berkasar, saya boleh bertanding parti bebas tetapi menyokong UMNO, itu tiada masalah sebab kawasan saya menang besar walaupun berlaku tsunami (politik) pada ketika itu tetapi majoriti saya naik," katanya. - BERNAMA