BENTONG: Bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob menyangkal dakwaan Barisan Nasional (BN) gagal membawa pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Adnan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai selama lapan penggal dari 1986 hingga 2022 berkata banyak kemajuan yang telah dilaksanakan di Pelangai bagi kesejahteraan penduduk.

"Banyak sudah kemajuan di Pelangai, penduduk hidup aman, tenteram, boleh cari makan dengan baik, jika ada masalah, Felda dan kerajaan negeri pun sentiasa sedia membantu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun boleh bantu kita.

"Saya tak nak cakap banyak kerana ramai kawan saya di sebelah sana (pembangkang), tapi takkan nak kita bawa Bank Negara, KLCC, KLIA semua ke Pelangai baru nak kata membangun, ada kemajuan," katanya selepas membuat kejutan tampil julung kali mengiringi kempen calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai Datuk Amizar Abu Adam di sekitar Felda Kemasul di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai naratif kempen Perikatan Nasional (PN) antaranya mendakwa BN gagal membawa pembangunan di Pelangai biarpun sudah lama bertapak di DUN berkenaan.

Dalam pada itu, Adnan yang mesra disapa sebagai Long Nan dalam kalangan penduduk Pelangai percaya Amizar mampu membantu meneruskan pembangunan di Pelangai jika diberikan mandat pada PRK DUN berkenaan Sabtu ini (7 Okt).

"Saya dah kenal lama (Amizar), dia orang baik, tidak kedekut, saya yakin jika dipilih beliau boleh bantu bangunkan lagi Pelangai, rancangan pembangunan di sini beliau boleh laksana dengan kerjasama baik kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pengundi di Pelangai supaya memikirkan masa depan, dengan bijak memilih calon yang benar-benar boleh membantu menyelesaikan setiap aduan rakyat.

PRK DUN Pelangai menyaksikan Amizar berdepan pertarungan tiga penjuru dengan calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

-- BERNAMA