POLITICS
PRK Ayer Kuning: Kemenangan UMNO bukti pengundi tolak naratif 'Islam dan Melayu terancam' - Asyraf Wajdi

Keputusan PRK Ayer Kuning pada 26 April lepas menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi apabila calon mereka, Dr Mohamad Yusri Bakir memperoleh kemenangan dengan majoriti 5,006 undi. - Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang berpihak kepada UMNO membuktikan parti itu menerima peningkatan sokongan pengundi daripada kaum Melayu, pelbagai kaum, serta anak muda.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemenangan itu juga menunjukkan rakyat menolak politik perkauman, kebencian, maki hamun, dan persepsi seolah-olah Melayu dan Islam terancam.
Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Rabu menzahirkan penghargaan kepada pengundi DUN Ayer Kuning yang memberikan kemenangan dengan majoriti besar di hampir kesemua Pusat Daerah Mengundi.
Selain itu beliau berkata, UMNO juga ingin menzahirkan penghargaan kepada jentera parti komponen Barisan Nasional dan Friends of BN, serta Pakatan Harapan yang bekerja keras memenangkan calon mereka.Keputusan PRK Ayer Kuning pada 26 April lepas menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi tersebut apabila calon mereka, Dr Mohamad Yusri Bakir memperoleh majoriti 5,006 undi menewaskan calon PN, Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
PRK tersebut diadakan susulan kekosongan kerusi akibat kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari 2025.
Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, MT turut menyokong penjenamaan semula Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata nama baharu itu akan dimasyhurkan secara rasmi pada 12 Mei 2025 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab kepada MARA, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besar bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya lagi.
Selain itu beliau berkata, UMNO akan mengadakan Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO kali pertama bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79 pada 1 Mei depan, bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami