TAPAH: Sentimen Melayu DAP bukan satu penghalang untuk menambat hati pengundi Melayu sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan berkata, beliau bersama-sama beberapa pemimpin Melayu DAP, termasuk Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman akan turun membantu calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Menurut Ahli Parlimen Bangi itu, rakyat Perak juga bukanlah asing dengan wakil rakyat DAP dalam kalangan orang Melayu.

“DAP Perak ada ADUN Melayu, Dr Abdul Aziz Bari (ADUN Tebing Tinggi), ahli majlis Melayu dan saya fikir warga Perak tidak asing dengan DAP Melayu,” katanya kepada pemberita ketika berkempen di DUN Ayer Kuning, di sini, hari ini.

Selain Young Syefura, turut hadir Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Syahredzan berkata, momokan negatif mengenai Melayu DAP hanya persepsi yang mungkin datang dari mereka yang tidak mengenali pemimpin Melayu dari parti berkenaan.

“Kalau nak tengok orang Melayu DAP buat kerja, datang Bentong, Bangi, Johor, tengok sendiri bagaimana kita buat kerja.

“Tak kenal maka tak cinta, saya harap dengan turunnya kami di sini dan tempat-tempat lain, dapat mendekatkan diri dengan mereka (rakyat),” ujarnya.

Beliau memberi jaminan akan melaksanakan janji yang telah diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk memberi sokongan dan membantu calon BN.

Dari segi gerak kempen, Syahredzan berkata, DAP akan memberi tumpuan kepada 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah ditugaskan kepada meka.

“Yang penting kebersamaan kita dalam kempen ini dapat dizahirkan dalam bentuk sokongan kepada calon BN.

“Sudah tentu kami nak fokus kepada dan secara keseluruhannya kita mahu memastikan pengundi keluar pada hari mengundi,” katanya.