KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Keadilan Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini.

“Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak telah membuat keputusan bahawa Parti KEADILAN Sarawak tidak akan akan bertanding dalam PRN Jepak yang akan datang.

"Saya yakin Majlis Pimpinan Pusat pun akan membuat keputusan yang sama.

"Kenyataan Senator Abun Sui, sudah jelas bahawa satu keputusan sudah dibuat di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Zulkifli yang juga Ketua Cabang PKR Batang Lupar berkata pihaknya menyokong usul tersebut demi keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi DAP Jepak, Tony Ung atas pandangan dan cadangan supaya PKR menghantar calon bertanding di DUN Jepak.

“Namun beberapa perkara yang Batang Lupar pertimbangkan ialah, pertama madat sepenggal rakyat bagi setiap DUN Sarawak telah diserahkan kepada GPS, termasuk DUN Jepak, jadi kita menghormati mandat tersebut.

“Kedua Kerajaan Perpaduan sedang rancak berusaha dengan GPS membangunkan Sarawak khasnya dalam isu MA63, selain itu keadaan ekonomi semasa yang menekan, dengan kos sara hidup yang tinggi, adalah lebih elok rasanya kita menghulur tangan membantu dalam perkara yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat,” katanya lagi dalam kenyataan itu.

Menurut Abang Zulkifli, walaupun pihaknya memberi laluan penuh kepada GPS, namun amalan demokrasi tetap dipegang teguh termasuk memastikan semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Demokrasi berpilih itu penting, semak dan imbang itu penting tetapi dalam keadaan politik terkini Batang Lupar berpendapat adalah lebih elok kita bertenang dan memberi laluan kepada GPS.

"Kita boleh terus meneggur dan mencadang kepada Kerajaan melalui saluran lain termasuk media massa,” ujarnya.