JOHOR BAHRU: Kesemua 61 Pusat Mengundi melibatkan 362 saluran ditutup secara rasmi tepat pukul 6 petang tadi, sekali gus menyaksikan tempoh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram telah berakhir.

Seramai 205,810 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka hari ini di kedua-dua kerusi berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 165,509 pemilih berdaftar melibatkan Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram melibatkan 40,301 pengundi.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan setakat pukul 4 petang tadi, peratus keluar mengundi bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, masing-masing 42 dan 56 peratus.

Ikuti keputusan terkini PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di sini!

PRK berkenaan dijalankan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

PRK Pulai dan Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Di Pulai, PH meletakkan 'orang kepercayaan' Allahyarham Salahuddin iaitu Suhaizan Kayat untuk mempertahan kerusi berkenaan.

Suhaizan yang telah tujuh kali bercuba nasib menjadi wakil rakyat ditentang calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohd Fauzi.

Sementara di kerusi Simpang Jeram, perebutan melibatkan calon PH iaitu Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya, serta calon Bebas, S Jeganathan.

Pada Selasa lalu, seramai 927 pengundi awal melibatkan pegawai dan anggota polis selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi Parlimen Pulai, manakala tiada pengundi awal di Simpang Jeram.