PRK Kinabatangan: Kempen BN-GRS masuk 'gear lima' - Naim Mokhtar

Naim Moktar beramah mesra bersama penyokong parti selepas ceramah sempena PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Dewan Rancangan Kampung Suan Lamba, Kinabatangan, 21 Jan 2026. --fotoBERNAMA
KINABATANGAN: Kempen Barisan Nasional (BN) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kini memasuki "gear lima" dalam usaha meraih sebanyak mungkin undi pada Sabtu ini.
Ringkasan AI
- Kempen Barisan Nasional (BN) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag memasuki fasa akhir untuk meraih undi pada Sabtu ini.
- Calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar, menekankan usaha terakhir dalam kempen untuk memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dengan mengadakan ceramah dan lawatan ke kawasan berkenaan.
- Ketua GRS Bahagian Sukau yakin komitmen parti komponen Kerajaan Perpaduan Sabah dapat meningkatkan majoriti undi bagi calon BN, Mohd Kurniawan Naim, dalam PRK kali ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan ceramah kelompok di kawasan Suan Lamba yang terletak kira-kira 55 kilometer dari pekan Kota Kinabatangan di sini dan turut dihadiri Ketua GRS Bahagian Sukau Datuk Juhari Janan.
Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu yang mesra disapa Naim Moktar berkata beliau telah selesai menjelajah kesemua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen berkenaan.
Kempen bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag telah memasuki hari ke-12 hari ini sejak bermula pada 10 Jan lepas selepas tamat proses penamaan calon.
Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Sementara itu, Juhari berkata beliau yakin menerusi komitmen dan kerjasama jitu yang ditunjukkan parti komponen Kerajaan Perpaduan Sabah dalam PRK kali ini mampu membantu memenangkan Mohd Kurniawan Naim, termasuk meningkatkan majoriti undi berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada Parti Warisan (Warisan).
"Insya-Allah kita yakin dan kita berdoa kepada Allah SWT (supaya Mohd Kurniawan Naim menang)...kita mahu tingkatkan undi kepada majoriti lebih 10,000," katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati (Warisan).
-- BERNAMA
Dapatkan keputusan dan berita terkini PRK Kinabatangan dan PRK Lamag di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

