IPOH: Perikatan Nasional (PN) telah mengenal pasti calon yang berpotensi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Kuala Kubu Baharu yang bakal diadakan 11 Mei ini.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, calon itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Perikatan Nasional apabila menghantar calon, beliau adalah calon PN, bukan calon daripada Bersatu, bukan calon daripada Gerakan, bukan calon daripada Pas, beliau adalah calon Perikatan Nasional.

“Jadi persoalan datang dari parti mana, tidak timbul,” katanya ketika ditemui pada majlis himpunan perdana Keluarga Dukut Halijah Imam Awang yang berkumpul di Kampung Kepayang Fair Park, di sini, hari ini.

Ditanya adakan calon itu dalam kalangan orang tempatan, Ahmad Faizal berkata, faktor itu juga penting selain berpendidikan dan diterima masyarakat.

Menurutnya, walaupun DAP telah memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Baharu sejak beberapa penggal lalu, namun, peluang untuk calon PN tetap ada.

“Saya jangka kami akan masuk sebagai ‘under dog’ tapi kami yakin dengan sokongan kaum Melayu yang merupakan kaum tertinggi 46 peratus, Orang Asli juga signifikan… begitu juga dengan kaum India.

“Jadi kami rasa the battle is there,” ujarnya.

Khamis lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal PRK DUN Kuala Kubu Baharu ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Kee Hiong menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013.