KUALA LUMPUR: Jika benar Pas memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan calon parti itu di Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari.

Penulis Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia yang juga penganalisis politik, G. Manimaran berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baharu dalam politik Malaysia.

Sebaliknya beliau berkata, calon Barisan Nasional (BN) di Cameran Highlands, Datuk Sivaraj Chandran juga tidak mengemukakan rayuan selepas kemenangan beliau diputuskan tidak sah pada 2018.

"Di bawah Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya, jika tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan dan dimaklumkan kepada SPR, satu PRK perlu diadakan untuk mengisi kekosongan.

"Selaras dengan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan ditentukan oleh SPR," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Manimaran menambah, Speaker Dewan Rakyat perlu memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan yang wujud, bagi membolehkan SPR mengambil langkah-langkah wajar untuk mengadakan PRK.

Kata beliau, sekiranya Pas mahu mengemukakan rayuan peringkat pertama, ia perlu didengar Mahkamah Persekutuan dalam tempoh enam bulan.

"Tetapi dalam kes ini, Pas mengambil keputusan untuk tidak merayu, maka SPR perlu mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari.

"Pas mengesyorkan agar SPR mengadakan PRK selari dengan PRN enam negeri pada 12 Ogos ini. 

"Pada pandangan saya, Pas mungkin mahu menjimatkan kos rayuan dan sangat yakin akan menang selepas mengambil kira sentimen kemenangan pada November lalu," ujarnya lagi.

Media melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, parti itu tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau berkata keputusan itu dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai disebabkan ketiadaan ahli Parlimen.

Pada 27 Jun lalu, mahkamah membatalkan kemenangan calon Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi daripada Pas itu menang dengan majoriti 40,907 undi pada PRU15.