PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober depan  sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan, tarikh bagi hari penamaan calon ditetapkan pada 23 September.

Menurutnya, seramai 16,456 pengundi yang layak akan menunaikan tanggungjawab pada PRK kali ini.

“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini, 24 Ogos 2023 dan memutuskan satu PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“Bagi maksud menjalankan PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti berikut:

“Tarikh keluar writ pada 24 Ogos (Khamis), hari penamaan calon 23 September (Sabtu), hari mengundi awal 3 Oktober (Selasa), dan hari mengundi pada 7 Oktober (Sabtu).

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2023 yang dikemas kini pada 17 Ogos 2023.

“DPPR ini mengandungi seramai 16,456 orang pemilih yang terdiri daripada 16,417 orang pengundi biasa, 36 orang anggota polis dan tiga orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

"DPPR bagi PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang akan mula dijual pada 18 September 2023 (Isnin),” katanya ketika sidang media pengumuman tarikh-tarikh penting PRK DUN Pelangai pada Khamis.

Dalam pada itu, Abdul Ghani turut memaklumkan, PRK Pelangai bakal menelan perbelanjaan sebanyak RM2.1 juta.

Terdahulu, Abdul Ghani telah mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK DUN Pelangai selepas pihaknya menerima notis pembubaran rasmi bagi kerusi berkenaan daripada Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Tambahnya lagi, SPR telah menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari sebaik sahaja selepas pengisytiharaan calon-calon yang bakal bertanding.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kekosongan yang berlaku secara luar jangka selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun terlibat dalam nahas pesawat ringan di Elmina Shah Alam pada 17 ogos lalu.

Beliau merupakan antara 10 mangsa maut yang terkorban dalam nahas terbabit ketika pesawat yang bergerak dari Langkawi menuju ke Subang itu terhempas sebelum mendapat kebenaran untuk mendarat.