BENTONG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.

"SPR berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan/komponen.

"Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen/gabungan/pakatan pada bahan kempen pilihan raya," menurut kenyataan itu.

Selepas pengisytiharan nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRK berkenaan hari ini, masa berkempen kini bermula, dengan tempohnya adalah sehingga pukul 11.59 malam, 6 Okt depan.

PRK itu diadakan ekoran kematian Johari, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas, dan SPR menetapkan hari mengundi pada 7 Okt ini manakala 3 Okt sebagai tarikh pengundian awal.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili Barisan Nasional (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada PRK itu.

SPRM dalam kenyataan menyebut bilik gerakan yang beroperasi 24 jam mulai hari ini hingga 7 Okt itu ditempatkan di SPRM Cawangan Raub, Pahang.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel kepada [email protected] atau menelefon 09-3501967.

SPRM turut mengingatkan kepada semua calon dan parti politik bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

-- BERNAMA