Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin hari ini membuat kejutan apabila hadir ke Port Dickson dan berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga bekas menteri kewangan menyertai Anwar pada majlis minum petang bersama komuniti nelayan di Kampung Telok Kemang di sini yang turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika berucap pada majlis itu, Daim menggesa pengundi tempatan memberikan sokongan kepada Anwar kerana Ketua Umum PKR itu akan membantu menyelesaikan masalah di kawasan itu.


Beliau juga secara berseloroh berkata jika bakal perdana menteri itu tidak boleh menyelesaikan masalah di situ, pengundi di kawasan tersebut boleh memaklumkan kepadanya.

"Tujuan kita pilih dia untuk adalah untuk selesaikan masalah, sekarang ini dia (digelar) Yang Berbahagia tapi bila kita pilih dia jadi perdana menteri nanti dia jadi Yang Amat Berhormat, jadi kita pilihlah bakal Yang Amat Berhormat, kalau esok dia tidak bela bagi tau saya, dengan syaratlah saya masih hidup," kata Daim yang disambut dengan ketawa daripada semua yang hadir.

Dalam ucapannya, Daim yang memegang jawatan Menteri Kewangan antara 1984 hingga 1991 turut menyuarakan pandangannya mengenai masalah yang dihadapi nelayan terutama hasil jualan yang rendah disebabkan orang tengah.

"Baru-baru ini saya pergi Langkawi, nelayan di sana mengadu kepada saya, mereka tangkap ikan dan jual RM4.50 sekilo, sampai Kuala Lumpur harga menjadi RM22 sekilo, jadi pembeli kena bayar banyak tapi nelayan itu hanya mendapat RM4.50.

"Jadi mesti ada benda yang tidak betul, orang yang kerja kuat dapat RM4.50, orang yang tinggal di Kuala Lumpur menjual RM22, jadi orang Langkawi bisinglah, jadi apa dia masalah, masalahnya ialah orang tengah yang kaya," katanya.

Katanya, semakan terhadap perkara itu perlu dibuat bagi mengenal pasti bagaimana harga ikan yang asalnya RM4.50 sekilo di Langkawi boleh mencecah RM22 di Kuala Lumpur, tetapi nelayan yang berkerja keras tidak mendapat keuntungan itu.

Daim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub untuk mencari jalan menyelesaikan perkara itu agar nelayan tidak terus menjadi miskin disebabkan keadaan itu.

-- BERNAMA