BALING: Penyandang kerusi DUN Alor Mengkudu, Datuk Mahfuz Omar yakin kerusi yang sedang dipertahankan itu bakal menjadi salah satu penyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu di kedah.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Amanah berkata, 16 kerusi kini dilihat sudah berada di dalam genggaman Pakatan Harapan (PH).

Ujarnya, PH perlu bekerja dengan lebih keras dalam memastikan tiga kerusi lagi mampu ditawan selari dengan hasrat gabungan parti itu yang menyasarkan 19 kerusi di Kedah.

“Gabungan perpaduan ini akan dapat ambil alih kerajaan Kedah dan Alor Mengkudu adalah salah satu daripada DUN yang akan jadi penyumbang terbentuknya sebuah kerajaan baharu.

“Saya yakin 16 kerusi sudah pun dalam tangan. Sebab itu kita lihat Sanusi nak 33 kerusi mereka yakin boleh menang tapi saya tak minta banyak, hanya 19 kerusi sahaja untuk bentuk kerajaan… kita perlu kerja lebih keras untuk tiga kerusi sahaja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Mega Jelalah Perpaduan Madani di sini, pada Jumaat.

Mahfuz bakal berdepan dengan pesaingnya yang sama sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu, Muhamad Radhi Mat Din yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Kedua-dua mereka sebelum ini bertembung di kerusi Parlimen Pokok Sena yang menyaksikan Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi.