GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyangkal dakwaan beliau menerima elaun daripada syarikat yang diberi kontrak membersihkan Sungai Klang.

Beliau berkata, dakwaan yang dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Pusat, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard itu, telah berulang kali dijawabnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

"Isu (beri tanah) 600 ekar percuma paling tiada asas... semalam dibangkitkan (saya) terima elaun? Tiada satu sen pun saya dapat elaun. Paling besar saya dapat karipap dalam mesyuarat... mungkin itu juga dikira rasuah oleh mereka?

"Malahan laporan SPRM telah dibuat, saya tak perlu jawab dengan mendalam (kerana) sebahagian besar telah dijawab... mungkin benda berulang kali, nampak baharu.

"Kenapa kita kekal melantik (syarikat itu) itu? Ia disebabkan (syarikat itu) tidak buat aktiviti peniagaan (sebab ia adalah syarikat bertujuan khas - SPVC). Ia dipilih Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pada Mac 2018 kemudian hutang RM40 juta (dengan kerajaan) untuk membersihkan sungai... memang kedudukan kewangan (syarikat) negatif.

"Jadi dah unlock, kita expose dengan proses teliti sejak tahun 2019, diikuti tawaran baharu. Daripada lembaga (syarikat) sampai Menteri Besar Incorporated (MBI) dibentang ke Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor," katanya.

Ujar Amirudin, serangan dibuat oleh Perikatan Nasional (PN) itu dilihat terdesak terutama menjelang hari-hari akhir Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menjawab soalan mengapa namanya tersenarai dalam syarikat terbabit, jelas Amirudin ia disebabkan projek berkenaan kritikal dan perlukan penyelesaian segera.

"Malah tuduan elaun, elaun apa saya dapat? Kenapa saya dimasukkan? (Sebab) projek itu kritikal dan perlu penyelesaian... sekarang jumlah sampah dikutip 600 tan setahun... kali pertama tahun 2016 dahulu (sampah) dikutip 16,000 tan... sampah dah berkurang, kualiti air daripada tahap lima kepada tahap tiga.

"Kini boleh guna air dari Sungai Rasau untuk Loji Rawatan Air (LRA) Rasau, jadi ada penambahbaikan (kebersihan sungai)," katanya lagi.

Semalam, Che'gu Bard dalam sidang media khas PN mendakwa wujud salah laku membabitkan Amirudin menerusi pemberian projek membersihkan Sungai Klang yang dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat terbabit.

Katanya, kesemua bukti mengenai perkara itu telah diserahkan kepada SPRM.