KOTA BHARU: Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad menyifatkan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebagai pemimpin kecewa dan orang yang sedang marah-marah.

Md Alwi berkata, rakyat seharusnya tidak perlu melayan pemimpin sedemikian kerana sifat itu mencerminkan kepimpinan yang tidak baik.

“Setakat yang saya tahu tak ada isu berkait ketua-ketua cawangan mahu keluar parti ini dan pada saya soal Tan Sri Anwar Musa kita letak tepi sebab dia ialah orang yang kecewa.

“Orang yang berada dalam keadaan marah-marah ni, mereka tak boleh nak dilayan sangat. Marah ini bukan sifat seorang pemimpin,” katanya ketika sidang akhbar Pilihan Raya Negeri (PRN) BN-Pakatan Harapan (PH) di Pejabat UMNO Kelantan di sini pada Rabu.

Sebelum itu, Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) dan bekas Ahli Parlimen Ketereh memberitahu, akan ada ahli, pemimpin dan bekas pemimpin UMNO keluar parti serta mengikut jejak langkah beliau.

Pengisytiharan itu akan dibuat dalam satu majlis ringkas di rumah beliau pada Jumaat ini.

Menurut Md Alwi, dakwaan penghijrahan beramai-ramai ahli UMNO termasuk beberapa pemimpin cawangan yang berkemungkinan akan melibatkan penutupan beberapa cawangan parti itu sedikit pun tidak menggugat keyakinan mereka.

Katanya, bahkan perkara bertukar-tukar parti ini biasa berlaku dan mereka yang menukar parti itu akan kembali semula kepada UMNO selepas ini.

“Pada saya mana-mana ahli yang nak pergi, biarkan mereka pergi. Mereka yang nak bersama UMNO, boleh teruskan.

“Walaupun apa pun keputusan, Kerajaan Madani ini akan kekal dan Perdana Menteri tetap Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya. - Sinar Harian