KUALA TERENGGANU: Parti Bersatu sah bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Alias Razak berkata, ketetapan itu dilakukan atas persetujuan bersama antara kepimpinan kedua-dua parti.

"Sekarang bukan lagi anggaran, memang sudah ada persetujuan bersama dalam keadaan harmoni. Kita beri lima kerusi kepada Bersatu," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Alias yang juga penyandang kerusi DUN Tunggal turut memberitahu, Pas juga akan mempertaruhkan calon wanita pada kali ini.

Kali terakhir Pas meletakkan calon wanita adalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), di DUN Kuala Besut.

Sementara itu beliau juga mengesahkan beberapa pemimpin menarik diri daripada bertanding pada kali ini, bagi memberi peluang kepada muka baharu. Namun tiada perincian lanjut diberikan. 

Pas dijangka mengumumkan calon Perikatan Nasional (PN) pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Terangganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Tuan Guru, perkarangan Masjid Rusila, Marang, di sini, esok. 

PN sebelum ini menyatakan keyakinan untuk menyapu bersih kesemua 32 kerusi termasuk 10 kerusi yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN).