ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah akur dengan keputusan yang diperoleh pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) kali ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN berlapang dada terhadap keputusan yang telah diterjemahkan oleh pengundi Kedah.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras sepanjang kempen PRN kali ini.

“Kita akur dan menerima kekalahan ini kerana inilah adat pertandingan. Akan ada pihak yang kalah dan ada yang menang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau dalam masa sama menegaskan agar tiada pihak yang akan menuding jari di atas kekalahan besar yang menimpa BN di Kedah.

"Saya nak berpesan kepada semua ahli-ahli UMNO dan BN untuk bertenang dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Kita telah berusaha menawan hati pengundi bukan hanya semasa kempen PRN sahaja, malah dari dulu lagi kita sentiasa berkhidmat kepada rakyat.

"Tetapi apabila rakyat mengambil keputusan tidak memilih BN, kita redalah dengan ketentuan Allah," katanya lagi.

Mahdzir yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu tewas kepada calon Pas yang juga penyandang kerusi, Mohd Radzi Md Amin dengan majoriti 6,373 undi.