KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan menghormati keputusanPilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang telah diterjemahkan oleh rakyat pada hari ini, kata Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan malam ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu berkata, keputusan yang diumumkan telah mengekalkan penguasaan Kerajaan Perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, mandat itu telah menjadi asas kepada kebersamaan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan untuk terus bekerjasama dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan ini untuk tempoh lima tahun mendatang.

“Barisan Nasional mengucapkan tahniah buat calon-calon yang telah berjaya. Terimalah amanah ini untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

"Buat yang tidak berjaya, teruslah beristiqamah dan jangan pernah berhenti untuk terus memperjuangkan aspirasi rakyat di saat kita berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Kepada seluruh rakyat yang telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah mengundi sekali gus menyuburkan proses demokrasi dalam negara, ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen dan keprihatinan demi menentukan masa depan yang lebih baik buat negeri dan negara,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada semua ahli-ahli parti, jentera dan sukarelawan yang telah bekerja keras menjayakan kempen dan bertungkus-lumus membantu BN.