BUTTERWORTH: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meyakinkan golongan bukan Islam khususnya di Pulau Pinang bahawa mereka tidak akan dipinggirkan sekiranya Pas diberi mandat untuk memerintah.

Beliau berkata, orang bukan Islam tidak perlu berasa takut kerana Islam itu fitrahnya aman dan Pas pastinya akan memerintah dengan adil untuk semua.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu lagi,  orang Cina dan India yang tinggal di Kelantan dan Terengganu hidup dengan aman bersama-sama orang Melayu sehingga kini meskipun berada di bawah pemerintah Pas.

"Islam memerintah dengan adil, jangan takut, orang bukan Islam jangan takut. Orang-orang Melayu ini sangat baik, orang Cin, India boleh hidup di Kelantan, di Terengganu. Mereka hidup di tengah-tengah orang Melayu dengan aman.

"Perpecahan tak berlaku di Kelantan dan Terengganu walaupun pemerintahan Islam. Jangan takut, mari bersama kita.

"Cuma cara DAP, cara Pakatan Harapan (PH) ini yang (jadikan) kacau-bilau... menimbulkan ketegangan. Kita ajak buat perubahan pilihan raya ini, keluar mengundi beramai-ramai," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian semasa menyampaikan ceramah pada program  Ceramah Mega PN Best di Permatang Sungai Dua, Butterworth hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, selain beberapa calon PN Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, beliau gembira kerana ramai anak muda telah 'berubah' dengan memilih untuk menyokong Pas dan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pengundi disaluran satu kebanyakan masih setia dan tidak berubah namun percaya  akan berlaku perubahan kelak.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru rakyat di enam buah negeri terlibat dengan PRN menunaikan tanggungjawab mereka demi memastikan berlaku perubahan di peringkat Pusat selepas ini.