SUNGAI BULOH: Ahli-ahli UMNO diingatkan agar tidak terpengaruh dengan hasutan pengkhianat parti menjelang tarikh mengundi di enam negeri yang mengadakan pilihan raya umum.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, pemimpin yang sudah meninggalkan parti tidak lagi relevan untuk bercakap soal survival UMNO.

Katanya, jika ahli-ahli UMNO membiarkan diri dibuli oleh pengkhianat maka parti keramat itu akan menerima nasib malang.

“Mereka yang sudah masuk parti lain minta ahli-ahli UMNO supaya tidak mengundi calon Barisan Nasional dalam enam pilihan raya negeri dengan alasan nak mengajar pemimpin-pemimpin tertentu.

“Kalau ahli UMNO terpengaruh dengan mereka ini maka parti kita ini akan jadi makin lemah, parti yang pengkhianat itu sertai akan jadi lebih kuat.

“Contohnya, di Selangor kalau kalah di semua 12 kerusi, dalam pilihan raya akan datang nak dapat tiga kerusi susah orang nak bagi.

“Kalau kita berunding dengan mana-mana parti pun selepas ini, prestasi kita dalam PRN ini akan jadi perkiraan,” katanya ketika berceramah di Kuang, di sini, pada Khamis malam.

Mohamed Nazri menjelaskan, di Selangor UMNO, amat bernasib baik kerana diberikan 12 kerusi biarpun hanya memenangi lima kerusi sahaja pada PRU14.

“Kalau ikut formulanya setiap parti akan pertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini.

“Tetapi dengan takdir Allah, UMNO diberikan 12 kerusi biarpun sebelum ini hanya ada lima kerusi.

“Dan lebih menarik, DAP yang dikatakan anti Melayu sanggup serahkan kerusi DUN Dusun Tua kepada UMNO.

“Di Pulau Pinang, Pas terpaksa serahkan kerusi kepada Gerakan. Jadi saya nak tanya parti Melayu mana yang kena ikut cakap parti Cina?” soal beliau.

Mohamed Nazri turut menegaskan, ahli-ahli UMNO perlu menyedari bahawa dakwaan DAP anti Melayu dan Islam hanyalah momokkan pihak lawan semata-mata.