KUALA LUMPUR : Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logonya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam kenyataan bersama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng bagaimanapun menekankan akan terus menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dalam PRN itu kerana ia adalah cerminan gabungan yang teguh dan bersatu padu.

"Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama.

"Kedua-dua Amanah dan DAP berpendapat bahawa parti-parti komponen serta parti-parti sahabat perlu duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah.

"Satu logo bersama amat penting untuk meyakinkan pengundi bahawa PH serius untuk menjadi kerajaan dan berusaha bergerak bersama sebagai satu pasukan dalam pilihan raya.

"Pengundi atas pagar lazimnya akan memberi sokongan positif kepada mana-mana gabungan yang mereka yakin mampu menang serta dilihat bekerjasama sebagai satu pasukan walaupun ada beberapa perbezaan antara mereka," katanya pada Khamis.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Ujar mereka, PRN Johor ini akan menyaksikan cabaran sengit dalam berdepan dengan UMNO- Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya lagi, penggunaan logo bersama akan memudahkan pengundi melihat Amanah, DAP dan UPKO sebagai sebuah gabungan yang padu antara pelbagai parti politik yang baharu dan lama dalam pilihan raya kali ini.

"Walau apapun keputusan PKR, kedua-dua Amanah dan DAP akan terus bekerjasama dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk MUDA untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan PH dalam PRN Johor," tambahnya.