Skip to main content

Politik

PRN Johor: Bahan kempen calon PN Alias Rahman jadi sasaran sabotaj di media sosial

[TB]_kempen palsu_media sosial
Imej tersebut kemudian dimuat naik semula di media sosial dengan suntingan tambahan ayat berbentuk sindiran dan serangan peribadi, termasuk mempersoalkan latar belakang keluarga calon. - Gambar/ Media sosial
Advertisement

KOTA TINGGI: Imej kempen kreatif calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Panti, Alias Rasman, menjadi perhatian di media sosial selepas didakwa disunting dan digunakan sebagai bahan kempen negatif.

Imej asal bahan kempen itu memaparkan Alias Rasman memperkenalkan dirinya sebagai anak tempatan dan cucu kepada Wak Nin Batu 4, selain membawa mesej kempen “Pilih Orang Kampung Kita”.

Namun, imej tersebut kemudian dimuat naik semula di media sosial dengan suntingan tambahan ayat berbentuk sindiran dan serangan peribadi, termasuk mempersoalkan latar belakang keluarga calon.

Berdasarkan semakan, sebaran imej yang disunting itu dikesan menerusi sekurang-kurangnya dua akaun Facebook yang dipercayai penyokong parti politik lawan.

Tindakan tersebut bagaimanapun mengundang kritikan rata-rata netizen di ruangan komen yang menyifatkan cara berkempen sebegitu sebagai negatif, tidak matang dan tidak wajar.

Sebahagian pengguna media sosial turut menegur agar kempen pilihan raya dilakukan secara sihat, tanpa menyunting bahan kempen pihak lawan atau menjadikan hal keluarga seseorang calon sebagai bahan ejekan.

Bagi netizen, perbezaan politik tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyerang peribadi calon, sebaliknya kempen wajar memberi tumpuan kepada tawaran, rekod, isu rakyat dan masa depan kawasan.

Memasuki fasa akhir kempen, persaingan di DUN Panti dilihat semakin menarik selepas bahan kempen kreatif Alias Rasman tular dan mendapat sambutan warga netizen.

Must Watch Video

Advertisement