Skip to main content

Politik

PRN Johor: BN nafikan terbabit insiden bakar bahan kempen PH

[TB]_Aliff Hilmi UMNO_ASTRO AWANI
Mohamad Aliff Hilmi gesa untuk hentikan tuduhan melulu terhadap parti Barisan Nasional (BN). - Facebook Mohamad Aliff Hilmi
Advertisement

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam insiden kerosakan dan pembakaran bahan kempen Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi berkata, pihaknya memandang serius cubaan segelintir pihak yang mengaitkan BN dengan insiden berkenaan menerusi pelbagai komen dan tuduhan yang tular di media sosial.

Menurut beliau, tuduhan tersebut disifatkan sebagai tidak berasas, bersifat spekulatif serta tidak bertanggungjawab selagi siasatan pihak berkuasa belum selesai.

“Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, setiap dakwaan hendaklah disokong dengan bukti, bukannya persepsi atau sentimen politik.

“Sepanjang penyertaan BN dalam pelbagai pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, budaya perjuangan kami tidak pernah diasaskan kepada perbuatan merosakkan harta benda, membakar bendera, mencabut poster atau melakukan vandalisme terhadap bahan kempen mana-mana parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Aliff berkata, BN sentiasa menghormati hak setiap parti politik untuk berkempen dalam suasana aman dan demokratik meskipun berbeza fahaman politik.

Beliau turut menegaskan, kemenangan tidak seharusnya dicapai menerusi provokasi atau sabotaj, sebaliknya melalui kekuatan jentera, kesungguhan bekerja, kebijaksanaan menyampaikan dasar serta keyakinan rakyat terhadap rekod dan tawaran yang dibawa.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan tuduhan melulu yang disifatkan hanya akan mencetuskan kebencian serta mengelirukan rakyat.

“Berilah ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara telus, profesional dan bebas.

“Sekiranya terdapat mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan, biarlah tindakan diambil mengikut lunas undang-undang tanpa mengira latar belakang politik mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak agar mengangkat martabat demokrasi dengan bersaing menerusi hujah, idea, rekod perkhidmatan dan tawaran terbaik kepada rakyat, bukannya melalui fitnah atau naratif yang tidak berasaskan fakta.

Katanya, BN akan terus mengamalkan politik matang, berhemah dan bertanggungjawab kerana kepercayaan rakyat dibina melalui khidmat, integriti dan perjuangan yang konsisten.

Must Watch Video

Advertisement