Skip to main content

Politik

PRN Johor: Cadangan mansuh kuota BUDI95 ibarat ‘tembak kaki sendiri’ - Akmal Nasir

[TB]_Akmal Nasir_Astro AWANI
Akmal beramah mesra dengan peniaga ketika membantu kempen calon PH Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, pada Rabu. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

TANGKAK: Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyifatkan kenyataan Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mencadangkan pemansuhan kuota BUDI95 ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai tindakan terdesak dan sengaja mencetuskan polemik baharu. 

Beliau berkata, isu berkenaan sepatutnya tidak dijadikan bahan kempen kerana fokus PRN adalah membentangkan gagasan serta penyelesaian bagi memajukan Johor, bukan mengheret perdebatan mengenai dasar yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, mekanisme BUDI 95 diperkenalkan dengan beberapa objektif yang jelas, antaranya memastikan subsidi petrol RON95 hanya dinikmati rakyat yang layak, selain mengekang ketirisan akibat penyalahgunaan subsidi oleh bukan warganegara atau pihak yang tidak berhak.

“Mekanisme ini membolehkan kerajaan mengetahui data penggunaan secara lebih sistematik. Apabila kita mempunyai data yang lebih tepat, kerajaan boleh membuat keputusan yang lebih menyeluruh sekiranya terdapat keperluan untuk menambah baik atau memperluaskan bantuan kepada segmen tertentu.

“Sudah pasti bila cadangan berkenaan ketika musim kempen pilihan raya... itu sebenarnya tidak berapa cantik... dalam keadaan tumpuan kempen ini adalah untuk, bagaimana kita terus membangunkan negeri Johor,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau ditemui ketika membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof, di Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Johor itu, yang menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan had bulanan bagi subsidi bahan api bersasar, dengan alasan jumlah yang diperuntukkan tidak mencukupi manakala kuota diesel pula meningkatkan kos perniagaan.

Mengulas lanjut, Akmal berkata beliau berpandangan kenyataan sedemikian tidak memberi manfaat kepada rakyat kerana hanya mengalih perhatian daripada isu sebenar yang perlu dibincangkan sepanjang kempen.

“Apabila kempen mula membawa isu di luar kerangka pilihan raya negeri, ia memberi gambaran seolah-olah kenyataan itu dibuat dalam keadaan terdesak ataupun sengaja untuk mencetuskan polemik baharu mengenai agihan subsidi.

“Saya tidak mahu melabelkannya sebagai kenyataan populis, namun saya melihat ia tidak akan membuahkan hasil kerana ini adalah pilihan raya negeri. Tumpuan sepatutnya diberikan kepada langkah-langkah yang boleh diambil selepas pilihan raya untuk terus memakmurkan Johor,” tambahnya.

Akmal turut menegaskan bahawa dasar berkaitan subsidi bukan diputuskan oleh satu parti semata-mata, sebaliknya dipersetujui secara kolektif oleh Kerajaan Perpaduan yang dianggotai pelbagai parti.

Menurut beliau, kenyataan Onn Hafiz yang juga calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu seolah-olah ‘menembak kaki sendiri’ kerana ia menyentuh keputusan yang dibuat secara bersama dalam kerajaan.

“Apabila mengulas dasar di peringkat Persekutuan, kita perlu mengakui bahawa ia merupakan keputusan Kerajaan Perpaduan yang mana kita sedang berusaha mengimbangi kedudukan fiskal negara.

“Sebab itu saya berpandangan perkara ini tidak sepatutnya dijadikan isu politik dalam kempen pilihan raya,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement