Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon PH dakwa billboard kempen dikhianat, laporan polis dibuat

Calon PH dakwa billboard kempen dikhianat, laporan polis dibuat. -- astro awani
Mohamad Shafwan mendakwa, papan tanda (billboard) kempen miliknya telah dikoyakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam satu kejadian di persimpangan masuk Felda Taib Andak-Felda Inas, pada Jumaat.
Advertisement

KULAI: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani mendakwa, papan tanda (billboard) kempen miliknya telah dikoyakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam satu kejadian di persimpangan masuk Felda Taib Andak-Felda Inas, pada Jumaat.

Katanya, billboard kempennya dikoyakkan tepat di bahagian muka.

"Bagi memastikan keadilan dan kelancaran proses demokrasi ini, saya telah membuat laporan rasmi kepada Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dan laporan polis rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada jam 11:34 malam tadi untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Taktik jijik dan perbuatan khianat sebegini amat mendukacitakan. Dalam landskap politik Malaysia yang sepatutnya semakin matang, kita wajar berlawan dari sudut idea, polisi dan tawaran untuk rakyat, bukan dengan merosakkan bahan kempen lawan.

"Saya menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pihak berkuasa dan berharap tindakan tegas akan diambil agar insiden serupa tidak berulang, sama ada kepada saya mahupun calon-calon yang lain,"katanya dalam kenyataan di media sosial pada Sabtu.

Mohamad Shafwan yang juga pembantu khas Ahli Parlimen Kulai turut menegaskan, beliau dan pasukan kempennya tidak akan lemah dengan sebarang provokasi dilemparkan.

"Kami akan terus berkempen secara berhemah, mematuhi undang-undang, dan memfokuskan sepenuhnya kepada mesej dan masa depan warga Bukit Permai mahupun Kulai.

"Biar rakyat yang menilai sendiri berdasarkan kerja nyata dan keikhlasan saya, bukan pada taktik jijik menjatuhkan orang lain kerana takut,"katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement