SIMPANG RENGGAM: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nor Hafiz Roslan berjanji akan berkhidmat kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, setiap penduduk di Machap berhak menerima layanan yang sama tanpa mengira bendera parti, kaum atau agama.
"Saya akan berkhidmat tanpa prejudis dan tanpa mengenal bendera parti.
"Bagi saya, semua yang saya jumpa, lebih kurang 35,000 penduduk Machap adalah rakyat dan juga amanah. Saya akan berkhidmat kepada mereka tanpa mengira warna kulit atau agama," katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Nor Hafiz, amanah sebagai wakil rakyat adalah untuk membela semua penduduk di kawasan itu, bukan hanya penyokong parti tertentu.
"Selagi mereka penduduk Machap, anak Johor dan rakyat Malaysia, merekalah sebenarnya raja ketika melantik wakil rakyat. Amanah wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada mereka," katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Nor Hafiz berdepan penyandang merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam pertandingan dua penjuru di DUN Machap.
Pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,543 undi selepas menewaskan Azlisham Azahar (PN-PAS), R. Sangaran (MUDA) dan Sharuddin Md Salleh (Pejuang).
DUN Machap kini mempunyai 35,206 pengundi berdaftar.
Politik
PRN Johor: Calon PH Machap janji berkhidmat tanpa mengira fahaman politik
Calon Pakatan Harapan bagi DUN Machap, Nor Hafiz Roslan (tengah), berjanji akan berkhidmat kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik, kaum atau agama sekiranya diberi mandat pada PRN Johor. - Gambar NOR HAFIZ ROSLAN