Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon PH mahu jadikan Kluang bandar ilmu

AHMAD ZUHAN
Calon PH bagi DUN Mahkota, Dr Ahmad Zuhan Md Zain (tengah), mahu menjadikan Kluang sebagai bandar ilmu dengan menarik lebih banyak IPTA dan IPTS serta memperkukuh infrastruktur digital. (Foto - Astro AWANI)
Advertisement

KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Dr Ahmad Zuhan Md Zain mahu menjadikan Kluang sebagai sebuah bandar ilmu dengan menggalakkan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) membuka cawangan di daerah itu.

Beliau berkata, Kluang ketika ini masih kekurangan institusi pengajian tinggi, sedangkan kedudukannya yang strategik di tengah Johor berpotensi menjadikan daerah itu sebagai hab pendidikan untuk penduduk sekitar.

"Saya melihat IPTA dan IPTS sangat kurang di bumi Kluang. Sebab itu antara aspirasi saya adalah menjadikan Bandar Kluang sebagai bandar ilmu.

"Kita akan berkolaborasi dengan IPTA dan IPTS di peringkat negeri dan Persekutuan untuk membuka cawangan di sini serta memberi peluang seluas-luasnya kepada anak-anak Kluang menimba ilmu dalam bidang yang sedang berkembang seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan digital," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut beliau, usaha itu turut disokong dengan hasrat meningkatkan infrastruktur digital, khususnya kelajuan internet, bagi memenuhi keperluan golongan muda serta merangsang pertumbuhan ekonomi digital di Kluang.

Beliau berkata, kedudukan Kluang yang terletak di tengah Johor membolehkan daerah itu diakses dengan mudah dari Mersing, Kahang, Sembrong, Paloh, Segamat, Yong Peng dan Ayer Hitam, sekali gus menjadikannya lokasi yang sesuai untuk pembangunan sektor pendidikan.

Pada PRN Johor kali ini, Dr Ahmad Zuhan berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, dan calon Parti Bersama, Abd Hamid Ali.

Pada PRK DUN Mahkota pada September 2024, Syed Hussien (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 20,648 undi selepas menewaskan Mohamad Haizan Jaafar daripada PN.

Kerusi itu kini mempunyai 66,318 pengundi berdaftar.

Must Watch Video

Advertisement