KOTA KINABALU: Pemberian Bantuan Khas Kewangan RM1,000 secara sekali beri di bawah Belanjawan 2027 memberi kelegaan kepada pemandu teksi di Sabah yang berdepan dengan kemerosotan pendapatan harian susulan saingan sengit mod pengangkutan lain.
Azizarjan Japar, 43, ibu kepada empat orang anak berkata, cabaran persaingan mod pengangkutan baharu menyebabkan kebanyakan pemandu teksi konvensional kini berdepan hari tanpa sebarang penumpang, justeru, bantuan itu amat membantu dalam kehidupan mereka.
Dia yang telah mencari rezeki sebagai pemandu teksi lebih 10 tahun berharap perkhidmatan berkenaan terus diperkasakan pihak berkuasa agar peranannya kekal relevan dalam ekosistem mobiliti negeri.
Menurutnya, suntikan kewangan tunai tersebut sekurang-kurangnya memberi ruang bernafas kepada pemandu wanita sepertinya untuk mengimbangi kos sara hidup yang semakin mencabar.
"Bantuan yang ada ini sangat meringankan sedikit kehidupan kami sekeluarga, lebih-lebih lagi untuk menampung keperluan persekolahan dan harian anak-anak. Namun untuk jangka masa panjang kita perlu cari jalan pastikan teksi ini terus diperkasa," katanya kepada Bernama.
Azizarjan ditemui pada majlis penyerahan bantuan itu kepada 1,105 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Sabah disempurnakan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, di sini, baru-baru ini.
Inisiatif bantuan khas tunai itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat bulan lepas, sebagai langkah memulangkan hasil negara terus kepada rakyat.
Pemandu teksi warga emas Erwandy Rani, 64 yang telah berkhidmat sebagai pemandu teksi tetap sejak 1984 menyifatkan bantuan kewangan berkenaan sebagai pengiktirafan amat bermakna sepanjang lebih empat dekad berada di jalan raya.
"Sekarang ini pendapatan hampir tiada, kadang-kadang seminggu baru dapat dua kali perjalanan dan hasil tambang untuk beli minyak pun tidak mencukupi," katanya.
Erwandy berkata, kemerosotan ketara jumlah penumpang saban hari memaksa pemandu mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung kos bahan api kenderaan tanpa pulangan setimpal.
Warga emas itu turut melahirkan rasa syukur kerana bantuan yang diperoleh buat kali pertama daripada kerajaan berkenaan tiba tepat pada masanya ketika sumber pendapatan pemandu teksi semakin terhimpit.
Turut berkongsi nada sama Abdul Patta Anbotika, 55, yang mengakui perbezaan jurang pendapatan pemandu teksi dahulu dan sekarang amat ketara berikutan perubahan landskap pengangkutan awam.
"Saya amat berterima kasih dengan bantuan daripada pihak kerajaan kerana pendapatan kami pemandu teksi sememangnya sangat berkurangan berbanding dahulu," katanya.
Dia yang memandu teksi sejak 1997 mendedahkan bahawa jika dahulu pendapatannya mampu mencecah hingga RM200 sehari di sekitar bandar raya ini, kini untuk memperoleh RM100 sehari pun amat sukar.
Menurutnya, kejatuhan hasil harian melebihi 50 peratus itu menuntut ketabahan pemandu konvensional yang terpaksa menunggu berjam-jam di pangkalan teksi untuk mendapatkan seorang penumpang.
Sehubungan itu, dia menyifatkan bantuan khas tersebut sebagai bukti keprihatinan kerajaan yang tidak meminggirkan nasib pemandu veteran yang masih gigih mencari rezeki.
-- BERNAMA