Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon PH mahu laksana inisiatif 'Keluarga Prihatin Paloh'

RUBAN ARUMUGAM
Dr Ruban mahu melaksanakan inisiatif 'Keluarga Prihatin Paloh' bagi membantu warga emas dan keluarga memerlukan, selain memperkukuh keselamatan jalan raya serta menarik pelaburan. Foto Dr Ruban Arumugam
Advertisement

KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Dr Ruban Arumugam mahu memperkenalkan inisiatif 'Keluarga Prihatin Paloh' bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan kesihatan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu, ahli keluarga yang tinggal bersendirian, terutama warga emas, boleh didaftarkan di pusat khidmatnya supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.

"Kita datang dengan pelan Keluarga Prihatin Paloh. Siapa-siapa yang bekerja di Singapura ataupun Johor Bahru, tolong daftar keluarga yang tinggal di sini dekat pejabat kami supaya kami boleh jaga mereka sekiranya berlaku kecemasan.

"Kita akan menjadi pasukan respons yang turun melihat sendiri apa yang berlaku kepada keluarga atau warga emas sekiranya berlaku apa-apa kecemasan," katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, Ruban berkata, beliau turut memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di laluan utama yang menghubungkan Paloh dengan Kluang dan Yong Peng.

Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, beliau juga akan berusaha membawa lebih banyak pelaburan ke Paloh bagi merancakkan ekonomi setempat serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk.

Pada PRN Johor kali ini, DUN Paloh mempunyai 27,966 pengundi berdaftar dan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan penyandang Barisan Nasional (BN), Lee Ting Han; calon PH, Dr Ruban Arumugam; calon Perikatan Nasional (PN), D. Jeevakumar; serta calon Bebas, G. Kamaleswaren.

Pada PRN Johor 2022, Lee Ting Han memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,176 undi selepas menewaskan Sheikh Umar Bagharib Ali (PH), Selvendran Velu (PN) dan Aminuddin Johari (Pejuang).

 

 

Must Watch Video

Advertisement