SIMPANG RENGGAM: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Abdul Mutalip Abd Rahim mahu memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu tanah serta pemilikan rumah membabitkan generasi kedua FELDA sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, isu itu antara perkara yang perlu diberi perhatian bagi membantu anak muda dan generasi kedua FELDA membina kehidupan lebih stabil di kawasan berkenaan.
Menurutnya, beliau sudah merangka beberapa pendekatan bagi memudahkan golongan itu memiliki rumah, khususnya selepas isu pemilikan tanah dapat diselesaikan.
"Saya usahakan untuk tanah generasi kedua FELDA dan Insya-Allah, cara macam mana kita nak bantu anak-anak belia FELDA dan generasi kedua FELDA ini untuk mendirikan rumah setelah tanah mereka miliki.
"Sebagai wakil rakyat, saya akan berusaha untuk menyelesaikan masalah mereka sebab saya pun dah pernah rancang beberapa perkara, macam mana pendekatan yang mudah untuk mereka memiliki rumah," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Abdul Mutalip yang juga penyandang ADUN Layang-Layang berkata, beliau juga telah mengemukakan beberapa permohonan berkaitan kemudahan infrastruktur di kawasan itu.
Katanya, sekiranya diberi peluang mewakili DUN Layang-Layang, beliau akan berusaha menyelesaikan perkara yang masih tertunggak selain meneruskan perancangan baharu untuk penduduk.
"Insya-Allah, mudah-mudahan dalam penggal ini, 2026 ini, sekiranya saya diberi peluang, saya akan berusaha untuk menunaikan apa yang tertunggak dan juga yang akan datang," katanya.
Pada PRN Johor kali ini, DUN Layang-Layang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Chua Jian Boon; calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, Guna Balakrishnan; dan calon PN daripada Bersatu, Abdul Mutalip Abd Rahim.
Abdul Mutalip merupakan penyandang kerusi DUN Layang-Layang selepas memenanginya pada PRN Johor 2022 atas tiket BN.
Pada PRN Johor 2022, beliau menang dengan majoriti 2,815 undi selepas menewaskan Dr Maszlee Malik daripada PH, K. Alagathiran daripada PN dan Ahmad Syafiq Othman daripada Pejuang.
Politik
PRN Johor: Calon PN Layang-Layang mahu selesai isu tanah generasi kedua FELDA
Abdul Mutalip mahu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu tanah dan pemilikan rumah generasi kedua FELDA, selain menambah baik kemudahan infrastruktur.