SHAH ALAM: Dakwaan ada cawangan parti terbubar dan ahlinya meninggalkan parti adalah perkara biasa berlaku setiap kali menjelang pilihan raya sama ada pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU), kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Bagaimanapun, Ketua Bersatu Bahagian Titiwangsa itu berkata sokongan terhadap parti termasuk Bersatu tidak boleh diukur berdasarkan kehilangan ahli sahaja kerana kemenangan sebuah parti politik dalam sesuatu pilihan raya juga ditentukan pengundi atas pagar.

"Saya rasa biarlah medan demokrasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini menentukan sama ada Bersatu relevan atau tidak. Insya-Allah saya yakin dengan jentera yang ada, dengan sentimen kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) yang masih kukuh, Bersatu dan parti lain mampu memberi kejutan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita sebagai mengulas laporan sebuah portal berita hari ini yang mendakwa lima cawangan Bersatu Bahagian Tanjung Piai iaitu Pekan Nanas Timur; Pekan Nanas Selatan; Ladang Sos Malaya; Melayu Raya dan Lubuk Sawah terbubar apabila ketua cawangan bersama lebih 300 ahlinya bertindak keluar parti serta-merta, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara mencadangkan agar bantuan moratorium bank dilanjutkan sehingga negara benar-benar pulih khususnya dari segi ekonomi dan lebih banyak peluang pekerjaan dalam membantu rakyat.

Beliau berkata pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan penyelesaian yang boleh digunakan untuk membantu rakyat susah.

"Perlu ada instrumen kewangan lain yang Kementerian Kewangan dan Bank Negara utarakan khususnya melibatkan moratorium. Tiada masalah untuk mereka lanjutkan moratorium tapi perkara ini perlu penelitian rapi bagi pihak Bank Negara dan Kementerian Kewangan," katanya.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal meninjau keadaan gereja Kota Kemuning Assemblies of God Church yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada 2 Feb lepas sekitar 11 malam.

Katanya, kementerian sedang menunggu laporan forensik dan teknikal bomba berhubung jumlah sebenar kerugian serta kerosakan dialami gereja yang terletak di tingkat dua sebuah rumah kedai bagi menyalurkan peruntukan sepatutnya.

-- BERNAMA