KULAI: Selepas berteka-teki tentang jumlah kerusi yang ingin ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, malam ini Parti Warisan mengumumkan kerusi pertama mereka iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bilangan dan kerusi selebihnya yang akan ditandingi, akan beliau umumkan sebelum hari penamaan calon yang berbaki tiga hari lagi.

Selain itu, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, hasrat Warisan bukan untuk membentuk kerajaan negeri, tetapi mahu memberi pilihan kepada rakyat Johor, selain mahu menjadi suara pembangkang yang kuat.

"Kita akan bertanding dalam Johor, mungkin tidak banyak kerusi, tetapi sasaran kita adalah untuk menjadi pembangkang yang kuat di Johor. Kita akan mulakan kebangkitan rakyat di negeri ini sebelum kita sasarkan untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

"Dengan itu, Warisan akan bertanding di DUN Bukit Batu, pengundi di sini tidak perlu risau kerana calon kita adalah calon tempatan dan orang muda, bukan orang Sabah," katanya lagi.

Selain itu Mohd Shafie berkata, Warisan akan meletakkan semua muka baharu sebagai calon, biarpun ada pemimpinnya merupakan bekas penyandang kerusi di Johor.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Warisan, di sini malam ini.

Untuk rekod, DUN Bukit Batu yang terletak dalam Parlimen Kulai, dimenangi oleh Jimmy Puah Wee Tse dari Parti Keadilan Rakyat, dengan majoriti 10,057 undi.

Sebelum ini, bayangan yang diperoleh tentang kerusi intaian Warisan, adalah berdasarkan pergerakan bekas Ketua Menteri Sabah itu, seperti di DUN Johor Jaya, DUN Bekok, dan DUN Permas.

Difahamkan Mohd Shafie akan mengumumkan senarai penuh calon Warisan sehari sebelum hari penamaan calon, iaitu pada Jumaat ini (25 Feb).

Dalam pada itu, beliau berkata, andaian bahawa Warisan tidak sepatutnya bertanding di luar Sabah adalah kenyataan dangkal, dan tidak menggambarkan semangat majmuk di negara ini.

“Kalau DAP yang pemimpinnya Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng boleh bertanding di Sarawak, kalau Pas yang datang dari Kelantan, boleh ada di Putrajaya, takkan Warisan dan Shafie yang dari Sabah, tidak boleh berada di Johor?

“Orang Melayu tidak mati akan kalau tak undi keris, Islam tidak mati kalau tidak undi bulan, Cina tidak mati kalau tak undi roket, jadi rakyat jangan terpedaya dengan bendera dan logo,  sebaliknya ukur manusia daripada amalan mereka," katanya lagi.