JOHOR BAHRU: Ketika Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung tidak lama lagi, sebuah portal mendakwa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat sudah mendapat surat pemakluman pembubaran DUN.

Menurut portal Malaysia Post, sumber dalaman UMNO ‘mengesahkan’ mengenai perkara itu, sambil mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bertemu dengan Hasni untuk menentukan tarikh berkaitan PRN.

Namun, Suhaizan, dipetik beberapa media sebagai berkata, beliau tidak menerima sebarang surat seperti yang didakwa portal tersebut.

“Tidak benar. Saya atau pejabat Speaker tidak menerima apa-apa surat pun berkaitan PRN, setakat hari ini.

"Tunggu Ahad nanti apabila pejabat dibuka semula,” katanya seperti dilapor Berita Harian, pada Khamis.

Pada 18 Januari lepas, barisan Pembangkang Johor menolak PRN, atas alasan ia tidak munasabah dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.

Menurut kenyataan bersama Parti Amanah Negara, PKR, DAP dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), mereka sebaliknya menawarkan 'Komitmen Kestabilan' bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi.

"Blok pembangkang di negeri ini telah memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap kerajaan pimpinan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar) meskipun dengan perbezaan majoriti hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri.

"(Justeru), blok pembangkang telah bersepakat untuk bersama-sama menawarkan Komitmen Kestabilan," menurut kenyataan bersama itu.

Sementara itu Hasni, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, sistem penyampaian kerajaan negeri tidak akan terganggu jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri ini.

Visi dan program kerajaan, tegasnya lagi, akan berjalan seperti seperti yang tergaris di bawah Belanjawan Negeri 2022.

Desas-desus mengenai PRN semakin hebat susulan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian pada Disember lepas, menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki satu majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Pada masa ini, Dewan Undangan Negeri Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).