Skip to main content

Politik

PRN Johor: Jangan jadikan pembebasan banduan sebagai modal kempen pilihan raya – PM

Anwar Ibrahim
Anwar ketika di Majlis Makan Malam Komuniti Cina di Johor Bahru hari ini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak menjadikan janji membebaskan individu yang dipenjarakan sebagai modal dalam kempen mereka.

Perdana Menteri berkata, pilihan raya tidak sepatutnya digunakan untuk mempertahankan seseorang hanya kerana hubungan politik atau persaudaraan.

“Anak Cina curi di kedai. Anak Melayu curi motor. Polis tangkap dan masukkan dalam penjara.

“Orang besar, Tan Sri, Datuk, Tun curi bilion-bilion senang-senang mahu lepaskan. Ini negeri apa ini?

“Ini sebab rakyat mesti bangkit. Apa pemimpin macam ini? ‘Mari sokong saya. Sokong parti saya. Kalau saya menang, parti saya menang, saya bebaskan orang dari penjara," sindir Anwar ketika berucap pada Majlis Makan Malam Komuniti Cina di Johor Bahru hari ini.

Menurutnya, seseorang yang melakukan kesalahan tetap perlu berdepan proses undang-undang tanpa mengira latar belakang.

“Jangan jadi pilihan raya ini macam lain-lain. Kita mesti menang sebab hendak tolong saudara kita. Dia curi pun tak apa, dia saudara kita. Tak boleh,” katanya.

Kata Anwar lagi, terdapat golongan yang tidak senang dengan pendiriannya kerana mereka sebelum ini terbiasa dengan amalan penyelewengan.

Pada 2 Julai, Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib ketika berkempen di Kluang dilapor mendakwa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor bakal menjadi isyarat sokongan rakyat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sekali gus mencerahkan peluang beliau mendapatkan pengampunan diraja.

Must Watch Video

Advertisement