JOHOR BAHRU: Kemelut kepimpinan politik yang melanda negara ini, secara langsung dan tidak langsung, meruntun masyarakat Malaysia tanpa mengira latar sosial, kata Ketua Bahagian Umno Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah.

Beliau berkata, kemelut politik itu sering kali terpalit dengan isu semasa seperti rasuah, perebutan kekuasaan dalam kalangan elit politik, isu kenaikan kos sara hidup, pengangguran, dan lain-lain isu sosio-politik.

Tegasnya lagi, rakyat Malaysia, khususnya di Johor, harus bersama-sama kembalikan negara ke landasan asal, di mana ia pada satu ketika pernah melalui zaman - “The Golden Age”.

“Ucapan dan pandangan kepimpinan negara dalam apa jua isu antarabangsa sering mendapat perhatian dunia; wartawan antarabangsa kerap-kali ingin mendapatkan pandangan kepimpinan negara dalam apa jua pentas perbincangan antarabangsa.

“Negara pada ketika itu sangat disanjung dan dihormati serta dipandang tinggi; negara pada era-keemasan itu dilihat sebagai 'the most referred and successful state' di mata dunia.

“Namun, ketika negara memasuki dekad ke-2 abad ke-21, wajah dan imej negara, khususnya dari aspek kepimpinan dan pentadbiran dilihat sangat lemah dan terpalit dengan pelbagai imej yang sangat menjengkelkan, “the national embarrassment”, “the failed state”, “unstable nation” dan pelbagai label yang memalukan kita sendiri,” katanya lagi.

Zakaria berkata, negara ini, khususnya Johor mempunyai segala potensi sama ada yang bersifat material, mahupun 'non-material', untuk menjadi sebagai sebuah negara yang sejahtera.

Katanya lagi, kesejahteraan itu boleh dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat berasaskan kepada model strategik yang tepat dan konstruktif.

“Potensi yang ada pada negara kita menjadi 'idaman' setiap negara luar, khususnya negara-negara kuasa politik dan pemodal yang besar untuk datang melakukan pelaburan di tanah watan yang bertuah ini.

“Dalam konteks inilah dan perlunya kita belajar daripada pengalaman sejarah serta kepincangan pengurusan masa kini untuk kita memastikan potensi yang ada pada negara kita, digembleng kembali untuk manfaat generasi mendatang, iaitu anak-cucu kita sendiri,” katanya lagi.

Bagi membolehkan semua pihak memanfaatkan potensi negara, Zakaria berkata, pertama sekali perlu dibentuk sebuah pentadbiran negara yang berwibawa, dan berwawasan, yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

Justeru, katanya lagi, perspektif inilah perlunya rakyat memilih sebuah kepimpinan kerajaan, sama ada di peringkat negeri ataupun persekutuan yang berasaskan kepada dua matlamat yang digariskan.

Atas sebab itu, Zakaria berkata, beliau amat mengharapkan warga Simpang Renggam, untuk menjadi teladan kepada rakyat Malaysia, membantu negara keluar dari kemelut, krisis, serta ketidaktentuan yang beliau sifatkan agak menggusarkan itu.

“Saya merasakan ianya sangat molek kita di Simpang Renggam ini, duduk bersama secara “Keluarga Malaysia”, memerah fikiran, berganding keintelektualan bagi memulakan apa yang pernah dilakukan oleh pemuka dan pemimpin kita 52 tahun dahulu.

“Sifat berlapang dada, saling-menghormati fikiran yang berbeza, ternyata telah banyak membantu pemimpin kita 52 tahun dahulu dalam menyelesaikan kemelut politik dan krisis sosial, yang pernah dialami negara ketika pasca Merdeka dahulu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Parlimen Simpang Renggam terdapat dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Machap dan Layang-layang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, kerusi Machap dimenangi calon Barisan Nasional, Abdul Taib Abu Bakar, menewaskan dua pencabar iaitu Ahmad Ahem (PKR), dan Azlisham Azahar (Pas) dengan majoriti 404 undi.

Di DUN Layang-layang pula, Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN) juga menewaskan dua pencabar, iaitu Murugan Muthu Sami (PKR) dan Mohd Jubri Selamat (Pas), dengan majoriti 364 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.