KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Wee Ka Siong mengadakan mesyuarat tergempar bersama lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang baharu dipilih susulan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Sabtu.
Menurut beliau, mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Perhubungan Negeri MCA Johor itu bertujuan menyelaras gerak kerja wakil rakyat yang dipilih selepas parti berkenaan berjaya memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam PRN Johor, MCA berjaya mempertahankan serta memenangi kerusi Bekok, Paloh, Yong Peng, Pekan Nanas, Tangkak, Jementah, Layang-Layang dan Johor Jaya hasil sokongan rakyat negeri itu.
Ka Siong berkata, semua ADUN dan calon MCA diingatkan supaya sentiasa merendah diri, menghargai mandat yang diberikan pengundi serta menghormati pihak lawan tanpa mengira keputusan pilihan raya.
Beliau turut menggesa semua calon parti itu supaya memulakan tugas berkhidmat kepada rakyat sebaik sahaja proses pilihan raya berakhir, termasuk mengadakan kunjungan penghargaan kepada para pengundi.
"Terima kasih yang tidak terhingga kepada Bangsa Johor atas kepercayaan yang diberikan. Wakil rakyat MCA akan membalas keyakinan itu melalui khidmat yang ikhlas dan tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon; Naib Presiden MCA, Wee Jeck Seng dan Lawrence Low, selain enam ADUN baharu iaitu Ling Tian Soon, Tan Eng Meng, Tan Chong, Chua Jian Boon, Haw Chin Teck dan Chan San San.
Menurut Ka Siong, dua lagi ADUN yang dipilih, Lee Ting Han dan See Ann Giap, tidak sempat menyertai sesi bergambar kerana masih dalam perjalanan ketika gambar dirakam
Politik
PRN Johor: MCA arah lapan ADUN baharu terus berkhidmat kepada rakyat
Ka Sioang selepas mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Perhubungan Negeri MCA Johor hari ini.