JOHOR BAHRU: Perang ‘mulut’ antara dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak terus berlarutan, dengan yang terbaharu Ahli Parlimen Pagoh itu menyenaraikan penggunaan dana RM42 juta SRC Internatinal oleh bekas ‘bosnya’, itu.

Muhyiddin, dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya berkata, bukti sahih penggunaan dana tersebut, seperti disebut dalam mahkamah, jelas menunjukkan ia tidak bermaksud untuk tujuan sedekah, atau tanggungjawab sosial koporat (CSR).

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, dana berkenaan ia sebaliknya digunakan oleh Najib atas tujuan peribadi, dan politik.

“Ya, adalah juga duit yang diberi kepada anak-anak yatim. Tetapi jumlahnya tak seberapa jika dibandingkan untuk kegunaan peribadi dan politik. Ini tak termasuk RM4 bilion duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC yang lesap entah ke mana.

“Akhirnya, kerajaan terpaksa membayar hutang SRC kepada KWAP kerana hutang ini dijamin oleh kerajaan ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati Najib merampok syarikat SRC daripada wang KWAP, iaitu wang rakyat, wang orang pencen,” katanya lagi.


Terdahulu, Najib melalui perkongsian di Facebooknya berkata,beliau tidak didakwa atau didapati bersalah mencuri dana RM42 juta itu, sebaliknya beliau didapati melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Mahkamah kata ianya bukan hak bagi saya untuk sedekahkan dana RM42 juta tersebut. Inipun setelah saya telah sedekahkan sepenuhnya dana RM642 juta yang saya pernah terima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi - bukan untuk kegunaan peribadi.

“Dana (RM2.6 bilion pula) telah dikembalikan kepada penghantar, empat bulan setelah diterima. Sebab itu saya tidak didakwa mencuri dana tersebut - malah telah didakwa sembilan tuduhan AMLA kerana menerima dana tersebut, dan 7 tuduhan AMLA sebab saya pulangkannya kepada penghantar,” tegasnya lagi.

Mengenai tuduhan beliau telah menyebabkan negara bankrap pula, Najib berkata, realitinya prestasi ekonomi negara adalah antara terbaik dalam rantau ASEAN sewaktu era pentadbiran beliau, di mana simpanan negara telah naik dari RM800 bilion kepada RM2 trilion.

“Hutang negara pula adalah RM687 bilion pada tahun 2017 sebelum PRU14 dan telah naik lebih RM300 bilion (atau 46%) ke RM1,03 trilion hari ini dalam tempoh 3 1/2 tahun saja. 

“Pasaran saham Malaysia pula telah naik lebih berganda dari 800 point (mata) ke 1,896 point sebulan sebelum PRU14 - iaitu paras paling tinggi dalam sejarah tetapi telah jatuh ke 1,500 selepas PRU14,” katanya lagi.

Perkongsian tersebut dibuat oleh Najib bagi menjawab kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang isu-isu yang disebutkan di atas.


Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Najib sering menuduh dirinya sebagai pengkhianat, tetapi beliau tidak pernah dituduh, atau didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah.

Beliau berkata, ia berbeza sekali dengan Najib, yang telah pun didapati bersalah di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, termasuk ayat yang digunakan Panel Tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil terhadap Najib

Frasa ‘national embarrassment’ dipetik daripada ungkapan yang digunakan Pengerusi Panel Tiga Hakim
tersebut terhadap Najib. bagi mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

"There is no national interest here, just a national embarrassment (tiada kepentingan nasional, hanya memalukan negara)," kata Abdul Karim.

“Najib berulang kali tuduh saya khianat. Tapi tak ada satu mahkamah pun menjatuhi hukuman bersalah ke atas saya. Dia juga tanya saya berapa wang yang saya belanjakan untuk rakyat?

“Sepanjang saya jadi PM, RM530 bilion saya sediakan untuk rakyat dalam macam-macam bentuk pakej bantuan dan rangsangan ekonomi. Satu sen pun tak masuk akaun saya. Bukan macam dia, berbilion masuk akaun sendiri. Itulah dia boss awak,” sindirnya lagi.