PONTIAN: Peratusan keluar mengundi yang rendah setakat ini bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkemungkinan kerana rakyat bimbang kepada penularan COVID-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata corak peratusan keluar mengundi itu berlaku dalam semua kaum.

“Kita mendapati ramai pengundi-pengundi golongan dewasa (tidak keluar) mungkin atas sebab bimbang COVID-19.

“Mereka tidak begitu ghairah keluar undi, ini (berlaku dalam) semua kaum sama ada Melayu, Cina atau India,” katanya kepada pemberita di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja, di sini.

Terdahulu, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor selesai mengundi kira-kira pukul 4.10 petang, di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad ketika sedang membuang undi. - Foto Astro AWANI

Mengulas lanjut, Hasni berkata pengundi dalam kalangan warga tua juga tidak begitu ramai keluar berikutan masalah kesihatan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: Statistik keluar mengundi setakat 4 petang ialah 50 peratus

Bagaimanapun, beliau menzahirkan keyakinan bahawa peratusan keluar mengundi boleh mencecah antara 60 hingga 70 peratus selepas proses pengundian selesai pada pukul 6 petang.

Ditanya apakah makna kepada parti yang menang jika peratusan masih rendah, Hasni berkata, ia tidak memberi gambaran bahawa semangat demokrasi semakin kurang.

KEPUTUSAN PRN JOHOR DI SINI

“Pada saya penting di setiap pusat pembuangan undi itu ialah tiada tanda (peraturan) yang menyekat pengundi datang untuk laksanakan tanggungjawab mereka.

“Jelas ini menunjukkan bahawa aspek keselamatan dan lokasi tidak jadi halangan untuk menyekat atau menyukarkan mereka pergi  mengundi,” ujarnya.

SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI

Hasni berdepan saingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada PRN Johor kali ini.

Beliau ditentang oleh Ahli Dewan Negara Senator, Datuk Isa Ab Hamid (Perikatan Nasional), Ahli Majlis Pimpinan Keadilan Johor, Haniff @ Ghazali Hosman (Pakatan Harapan) dan Iskandar Noor Ibrahim (Pejuang).