KUALA LUMPUR : Parti-parti politik disaran mengetengahkan 35 peratus calon muka baharu dan 65 peratus muka lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Ismail Sualman berpendapat, gabungan antara calon senior dan junior itu akan dapat memastikan pembentukan sebuah kerajaan negeri yang hebat.

"Saya fikir 35 peratus muka baharu, 65 peratus muka lama sebab saya lihat bahawa gabungan ini perlu ada. Kita tak mahu dia letak terlalu muda tetapi akhirnya dia buat kerja bukan-bukan.

"Sebagai contoh, saya lihat parti yang muda mereka belum melalui proses dan sebagainya , dengan cara muda mereka dan  buat sesuatu yang tidak addaptable kepada jiwa orang tua pula. Orang tua ini perlu dihormati,

"Jadi, perlu ada gabungan antara pemimpin senior dan junior dan menjadi "wow" dalam pembentukan sebuah kerajaan," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Selasa.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI



Tambahnya, semua parti perlu mengambil iktibar daripada situasi politik di Melaka yang menunjukkan keperluan meletakkan calon lama selain muka baharu.

"Saya fikir sesetengah tempat perlu diletakkan calon yang muda, tetapi mereka perlu ada kewibawaan, track record pula mungkin tiada pengalaman tetapi mungkin kerana kelulusan dan penglibatan mereka di peringkat cawangan, bahagian, akan diambil kira untuk diletakkan ke tempat tertentu.

"Namun, saya fikir, dalam mana-mana parti politik pun, mesti ada gabungan antara (calon) tua dan muda,"kata beliau lagi.

Selain itu, parti politik perlu menggerakkan strategi masing-masing dalam mendekati pengundi muda susulan pelaksanaan Undi18 pada pilihan raya kali ini.

"Strategi perlu dilakukan memandangkan akan ada 700,000 pengundi muda dan akan datang, semua parti-parti politik perlu dekati mereka. Mereka (pengundi muda) perlu memahami apa maksud demokrasi, apa maksud hak dalam pilihan raya.Apa maksud mendapatkan seorang calon yang terbaik. Ia bermaksud kita nak ajar kepada semua pengundi ini mengundi mengikut rasional , kewarasan dan bukan emosi,"ujar beliau.

Malah,pendekatan itu penting memandangkan banyak masalah yang timbul kerana ada yang mengundi mengikut emosi dan bukan secara rasional pada pilihan raya umum lalu.

"Mungkin PRU 2018 menunjukkan banyak masalah, berdasarkan kajian saya banyak bermain emosi menyebabkan mereka tersalah pilih dan menjadikan kestabilan politik menjadi suatu yang tidak diingini," tambahnya.