JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan mengoptimumkan sepenuhnya potensi di negeri Johor sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir jentera kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, usaha itu termasuklah menggiatkan semula industri dan sektor yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Katanya, beliau turut berhasrat untuk mengembalikan zaman kegemilangan negeri itu sebagai antara negeri yang termaju di Malaysia. 

Menurut Muhyiddin, inisiatif itu turut selari dengan tunjang keutuhan ekonomi Johor seperti yang dijanjikan dalam ikrar PN pada 2 Mac lalu. 

Tambahnya, selaku antara negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara, Johor mempunyai potensi yang amat besar untuk dipacu ke tahap yang optimum.

“Johor mempunyai banyak potensi. Saya ada pengalaman memimpin Johor sebagai Menteri Besar 30 tahun dahulu. Sepatutnya ia menjadi negeri yang termaju.

"Banyak lagi yang boleh dilakukan. Saya beri jaminan jika PN mentadbir, berpandukan pengalaman yang saya ada, kita boleh kembali jadikan Johor seperti sebelum ini dari segi pembangunan,” katanya.

[TERKINI] Sidang Media Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN)


Beliau berucap demikian semasa Sesi Dialog Menteri-Menteri Ekonomi bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, di sini pada Sabtu.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) memaklumkan, cadangan mempercepatkan pembukaan sempadan negara melibatkan Malaysia dan Singapura telahpun dibincangkan di peringkat Kabinet.

Manakala pihaknya telah membentangkan satu laporan berkenaan perkara itu bagi memperhalusi cadangan berkenaan. 

Gesaan untuk menyegerakan pembukaan sempadan itu dibuat berikutan Singapura merupakan antara pelabur terbesar yang menyumbang kepada ekonomi di negeri itu. 

"Sebagai Pengerusi MPN antara perkara diputuskan adalah supaya kerajaan dengan secepat mungkin buka semula sempadan negara kita.

“Buka cepat dan rakan-rakan dalam Kabinet kata telah bincang, laporan MPN telah dibentang. Saranan saya pada 1 Januari nampak macam tak boleh, lepas itu 1 Mac pun belum (boleh dibuka).

“Saya pun tak tahu tetapi menteri dekat sini pastinya mereka tahu supaya segerakanlah, antara yang penting kita di selatan agar cepat dibuka,” katanya lagi.