MALAYSIA
Kerajaan akan perkasa sekolah pondok dengan teknologi baharu dan AI - Anwar

Anwar hadir pada Perasmian MTHQA kali ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, Mohd Na’im, Dr Dzulkefly dan Shamsul Azri. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memulih dan memartabatkan semula institusi pondok negara agar kekal menjadi benteng pertahanan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam selari dengan tuntutan semasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Pemulihan Institusi Pondok - Kerajaan berhasrat memartabatkan semula institusi pondok dengan kerjasama JAKIM dan Kementerian Kewangan, termasuk menambah baik infrastruktur dan memperkenalkan teknologi moden seperti AI dan pendigitalan.
- Pelancaran Program Mushaf Ummah - Perdana Menteri akan melancarkan Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos, yang bertujuan menyebarkan al-Quran ke seluruh dunia dalam 30 bahasa melalui terjemahan rasmi.
- Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa - MTHQA ke-65 sedang berlangsung dengan penyertaan 71 peserta dari 49 negara; pemenang akan menerima hadiah wang tunai hingga RM40,000 dan tajaan barang kemas daripada YaPEIM.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini semalam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata sejarah membuktikan bahawa ketika sistem politik, ekonomi dan pendidikan negara tunduk kepada penjajah, institusi pondok kekal sebagai benteng terakhir mempertahankan jati diri umat Islam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan beliau akan meluncurkan Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos ini dalam usaha memperluas penyebaran al-Quran dan mesej Islam ke serata dunia melalui terjemahan rasmi ke dalam 30 bahasa dunia.
"Dalam semua perjalanan saya ke seluruh dunia, Peru, Brazil, Perancis, Kemboja dan puluhan negara dalam beberapa tahun ini, setiap kali saya berkunjung, saya akan bawa al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa negara itu dan kita edarkan secara rasmi dan inilah bagi saya satu pendekatan yang baik," katanya.
MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos ini tampil dengan tema 'Membangun Ummah MADANI' serta menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.
Malaysia diwakili Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Perak dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Terengganu) bagi kategori Tilawah manakala Muhammad Adib Ahmad Rozaini (Perak) dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Kelantan) untuk Hafazan.
Pemenang akan menerima wang tunai RM40,000, naib johan (RM30,000) dan tempat ketiga (RM20,000) serta barang kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami