Skip to main content

Politik

PRN Johor: “Ramai ajak bergambar, suasana memang berbeza” - Calon PN

PRN Johor, Rasman Ithnai
Rasman bersama isteri, Zaleha Ali bergambar selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama di Pusat Mengundi SMK Air Tawar 2, Kota Tinggi. - Foto Astro AWANI/ Nasruddin Samad
Advertisement

KOTA TINGGI: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Rasman Ithnain menyifatkan, suasana sangat ceria di pusat mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kali ini.

Menurut Rasman, sambutan pengundi yang mengajak beliau bergambar dan berswafoto sepanjang hari pengundian jauh berbeza jika dibandingkan pengalamannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Bila kita masuk ke kawasan dewan, tempat-tempat kita mengundi, keceriaan itu nampak dan ramai yang berjumpa kita nak bergambar dan sebagainya...,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bagi DUN Johor Lama di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar 2, di sini, pada Sabtu.

Mengulas pengalamannya ketika PRU14, perbezaan suasana di pusat mengundi pada 2018 itu amat ketara apabila reaksi wajah pengundi dilihat lebih serius dan kurang bertegur sapa.

“Saya tengok masa 2018, walaupun kawan-kawan saya, jiran-jiran saya… masa kita nak pergi mengundi itu suasananya dalam keadaan tegang, muka serius, tidak menyapa antara satu sama lain. Kali ini semua mahu bergambar, semua nak ‘selfie’ dalam keadaan ceria,” katanya.

Rasman kembali bertanding untuk merampas semula kerusi yang pernah diwakilinya tiga penggal berturut-turut sejak 2008 atas tiket UMNO sebelum menyertai Bersatu pada 2018.

Rasman menentang penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN), Muszaide Makmor selain calon Pakatan Harapan, Amirul Huzni Onn.

Must Watch Video

Advertisement