BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempertikai kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) diiktiraf dalam menangani wabak COVID-19.

Dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkata, data sedia ada tidak pernah menipu dan menunjukkan yang sebaliknya.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam menyenaraikan satu demi satu rekod PN berkata, Mohamed Azmin patut lihat graf kes baharu dan kematian COVID-19 bagi Malaysia berbanding negara-negara ASEAN, dan juga purata dunia bagi tempoh pentadbiran kerajaan PN yang tumbang pada Ogos 2021.

“Bagi kes kematian, saya ambil data sehingga pertengahan bulan September 2021 sebab kerajaan PN banyak menyorok kes kematian. Backlog ini akhirnya dilapor oleh kerajaan baharu.

“Dalam tempoh itu, Malaysia adalah negara paling teruk dalam ASEAN dan antara paling corot di dunia. Kita juara dunia COVID masa itu,” kata bekas Presiden UMNO itu lagi.


Pada 7 Februari lepas, Mohamed Azmin dilaporkan sebagai berkata, rakyat Johor perlu melihat rekod pencapaian pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang juga Ahli Parlimen Gombak itu berkata, antara kejayaan luar biasa PN adalah mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah kerajaan terbaik dalam menjalankan usaha pemulihan COVID-19.

"Lihatlah rekod PN (walaupun) dalam tempoh begitu singkat, negara hadapi krisis kesihatan, krisis ekonomi namun kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN berjaya membawa negara keluar daripada krisis ini.

“Malah diiktiraf masyarakat dunia yang mana Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei meletakkan Malaysia di tangga ke-13 berbanding 115 pada tahun sebelumnya.

"Ini adalah rekod yang tidak boleh dipadamkan. Data tidak menipu.

"Ini kebaikan untuk industri di Johor. Kenapa kita tidak boleh terima?

"Kalau tidak suka, janganlah sampai nak dipadamkan kejayaan dan fakta-fakta itu.

"Kita perlu teruskan kejayaan ini dan saya serahkan kepada rakyat buat keputusan dalam PRN Johor," katanya lagi.

BACA: PRN Johor: Pengundi perlu lihat rekod pencapaian PN - Mohamed Azmin

Mengulas lanjut, Najib turut mengingatkan Mohamed Azmin bagaimana kerajaan ketika itu laksanakan lockdown ‘separuh masak’ dengan tempoh antara paling panjang dalam dunia.

“Kita asyik di tangga tercorot indeks-indeks COVID (Bloomberg, Nikkei, The Economist) masa itu.

"Kita satu-satunya negara yang laksana darurat untuk gantung Parlimen begitu lama sehingga Raja-Raja Melayu dan YDPA bertitah agar darurat tidak diteruskan.

“Kita satu-satunya negara di ASEAN yang diturunkan penarafan sehingga Malaysia akhirnya kehilangan penarafan gred A kita sejak berpuluh tahun lalu.

“Min dah lupa bahawa zaman kerajaan PN adalah zaman "move, tutup, move tutup", zaman ramai bunuh diri atau angkat bendera putih dan zaman kerajaan perlu rayu kepada rakyat derma kontena untuk simpan mayat,” kata Najib lagi.