MUAR: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia menyediakan platform bagi mengadakan sesi dialog melibatkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik.
Menurut Fahmi, tawaran itu dibuat bagi memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin menjelaskan hala tuju negeri kepada rakyat secara terbuka.
“Kalau perlu, saya sedia menyediakan pentas di RTM TV1 untuk Dr. Maszlee dan Datuk Onn Hafiz berdebat ataupun kalau tidak mahu berdebat, kita boleh berdialog.
“Kita namakan sesi itu sebagai Dialog Halatuju Negeri Johor. RTM TV1 bersedia menyediakan platform, kita boleh tetapkan pada jam 9 malam dan memilih mana-mana tarikh yang sesuai, sama ada di Johor Bahru atau lokasi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Majlis Makan Malam Amal yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan.
Sehubungan itu, Fahmi turut mendakwa alasan yang diberikan berhubung keengganan Onn Hafiz menyertai debat sebelum ini adalah cubaan untuk mempertahankan Menteri Besar Johor itu.
Katanya, sebagai calon yang memimpin negeri, Onn Hafiz seharusnya bersedia berdepan dengan pelbagai pandangan, termasuk daripada pihak yang mempunyai pendirian berbeza.
“Saya percaya Datuk Onn Hafiz akan memberanikan diri untuk hadir berdialog dengan Dr. Maszlee. Ini bukan soal berdebat semata-mata, tetapi memberi peluang kepada rakyat mendengar sendiri pandangan kedua-dua pemimpin mengenai hala tuju Johor,” katanya.
Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu menamakan terlebih dahulu calon Menteri Besar Johor sekiranya benar-benar mahu mengadakan debat dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berpandangan, debat hanya wajar diadakan antara dua individu yang berada pada kedudukan setara sebagai calon Menteri Besar dan bukannya melibatkan pemimpin yang belum mendapat pengesahan sebagai calon rasmi.
Khairy berkata, serangan berterusan PH terhadap Onn Hafiz sebenarnya menunjukkan Menteri Besar Johor itu dilihat sebagai ancaman politik dan aset terbesar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.