Skip to main content

Politik

PRN Johor: Selepas kalah, PH nilai semula strategi hadapi PRN Negeri Sembilan

Khalid Samad dan Amirudin Shari. BERNAMA
Khalid berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah peralihan undi penyokong PN, khususnya Pas kepada Barisan Nasional (BN). - Gambar Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) akan menilai semula strateginya susulan prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, PH perlu kembali ke meja perancangan bagi meneliti perubahan corak sokongan pengundi yang berlaku di Johor.

“Kami perlu kembali ke meja perancangan dan melihat bagaimana isu ini boleh ditangani, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di Pusat Informasi PH di Pulai Springs Resort, di sini, pada Sabtu.

Khalid berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah peralihan undi penyokong Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pengarah Jentera PH PRN Johor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan itu tetap berhasrat mempertahankan pentadbiran Negeri Sembilan berdasarkan rekod kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Jangkaan kita, kita mahu mengekalkan pentadbiran di bawah PH. Kita ada rekod prestasi yang bagus di Negeri Sembilan dan kita berkeyakinan Datuk Seri Aminuddin akan meneruskan keupayaan kita di Negeri Sembilan.

“Esok pun saya akan berbincang berkenaan calon-calon Negeri Sembilan, khususnya KEADILAN dan, kalau tidak silap saya, tanggal 14 kita akan umumkan senarai calon Pakatan Harapan,” katanya.

Setakat pukul 9.50 malam, PH mendakwa memenangi lapan daripada 56 kerusi DUN Johor berdasarkan keputusan tidak rasmi, membabitkan enam kerusi DAP serta masing-masing satu kerusi PKR dan Amanah.

Bagi PRN Negeri Sembilan, PH dijadual mengumumkan senarai calonnya pada 14 Julai, manakala SPR menetapkan penamaan calon pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos 2026.

Must Watch Video

Advertisement