JOHOR BAHRU: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir hari ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyediakan ruang bagi membolehkan rakyat Malaysia di Singapura keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, kekangan pergerakan di sempadan negara terutamanya kerana risiko COVID-19, tidak harus dijadikan alasan untuk menghalang mereka sama-sama menyertai proses demokrasi di negeri ini.

Antara langkah yang boleh diambil, kata Akmal, ialah penyediaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) khusus bagi pengundi atau membuka pusat mengundi di negara itu.

“Kalau kerajaan atau SPR ikhlas mahu perkuatkan proses demokrasi, perlu ada jalan mudahkan mereka (pengundi Johor di Singapura) untuk mengundi, walaupun ada sekatan SOP (prosedur operasi standard).

“Kalau mereka masih perlu mengundi di Johor, proses itu perlu dipermudahkan. VTL yang sedang berjalan, sebagai contoh, perlu ada VTL khas untuk rakyat Malaysia yang mahu keluar mengundi.

“Atau sekiranya dari segi logistik itu terlalu menekan sempadan negara, boleh buka pusat mengundi di Singapura. Kerana postal votes ini masih banyak keraguan, perlu kapasiti individu untuk uruskannya mengikut lokaliti dan sebagainya,” katanya lagi.

[LAPOR LANGSUNG] 'Dakwaan PRN Johor strategi kluster mahkamah tidak tepat'

Astro AWANI sebelum ini melaporkan SPR perlu mewujudkan satu kaedah undi pos bagi membolehkan lebih 400,000 rakyat Malaysia termasuk pengundi Johor di Singapura untuk mengundi dalam PRN.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dilaporkan berkata, beliau melihat inisiatif berkenaan akan membolehkan rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang mengundi akibat pandemik COVID-19 menunaikan tanggungjawab mereka.

Dalam pada itu, Akmal turut melahirkan kerisauan tentang dakwaan bahawa pengurusan universiti awam dan swasta terutamanya di ibu negara, akan menghalang para siswa dan siswi untuk pulang mengundi atas alasan untuk mengekang penularan COVID-19.

“Kalau saya boleh kongsikan di kalangan anak muda, ada kebimbangan bahawa mereka (siswa dan siswi) tidak akan dibenarkan pulang kampus masing masing.

“Ada yang belajar di institusi pengajian, menjelang Tahun Baharu Cina pun tidak dibenarkan balik kerana kerisauan COVID-19, kerana pengurusan tak mahu ada pergerakan keluar masuk.

“Bila PRN, macam mana? Perlu ada penekanan dari pihak SPR untuk memastikan hak mengundi setiap rakyat Johor, dijamin dan dapat terlibat sama dalam proses pengundian,” tegasnya lagi.