MELAKA: Percaturan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semakin panas dengan 75 calon telah diumumkan oleh lima gabungan dan parti setakat ini.
Proses pengumuman calon oleh parti yang bertanding bermula seawal Ogos lepas dengan Parti Bersama Malaysia (Bersama) menjadi yang terawal memperkenalkan 16 calonnya.
Ia disusuli Pakatan Harapan (PH) yang mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi pada 24 Okt, sebelum menambah tiga lagi kerusi menjadikan gabungan itu bertanding di 24 kerusi keseluruhan setakat ini.
Sebanyak 10 daripada kerusi itu diperuntukkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala masing-masing tujuh untuk DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan akan bertanding di 22 kerusi melibatkan 18 calon daripada UMNO, tiga MCA dan satu MIC.
Pada malam tadi Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lima calon membabitkan dua calon daripada PAS, dua Wawasan dan satu Gerakan manakala Bersatu menampilkan lapan calon.
Berdasarkan pengumuman calon oleh PH, BN, PN, Bersama dan Bersatu setakat ini, dijangkakan berlaku pertembungan satu lawan satu di 13 kerusi, pertembungan tiga penjuru (11) dan empat penjuru (empat).
Setakat malam tadi juga, sebanyak 189 borang penamaan calon dilaporkan sudah dibeli dengan 45 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala penamaan calon pada esok dan pengundian awal 10 Nov.
-- BERNAMA